Pengambilan Di PETROS Hanya Melalui Portal Rasmi, Orang Ramai Digesa Waspada
KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) menggesa orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap maklumat tidak sahih atau palsu berkaitan pengambilan pekerja dan peluang kerjaya syarikat itu yang diperoleh daripada sumber tidak rasmi.
Menurut syarikat berkenaan, semua permohonan bagi peluang kerjaya dan latihan industri hanya dibuat melalui portal rasmi dalam talian di https://careers.petroleumsarawak.com/.
PETROS turut menegaskan komitmennya dalam membangunkan bakat tempatan bagi membina tenaga kerja yang mahir dan kompeten.
“Kami terus melabur dalam pembangunan bakat tempatan untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing bagi memacu pertumbuhan Sarawak,” menurut kenyataan yang dimuat naik di portal rasmi syarikat tersebut pada Khamis.
Dalam laporan oleh sebuah media tempatan, PETROS memberi amaran kepada orang ramai mengenai satu surat tawaran pekerjaan palsu yang tular di media sosial, yang kononnya mengaitkan syarikat itu dengan pengambilan pekerja asing.
PETROS menjelaskan bahawa dokumen tersebut adalah tidak sah dan bukan dikeluarkan oleh syarikat berkenaan. -EDISI UKAS