The Friendship Diplomacy 21–23 Mei di BCCK, Platform Rentas Industri Perkukuh Jaringan Serantau
KUCHING: The Friendship Diplomacy bakal berlangsung pada 21 hingga 23 Mei 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) sebagai platform strategik yang menggabungkan pelbagai industri termasuk seni, teknologi, muzik, kraf dan perdagangan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran acara tersebut bukan sekadar festival biasa, sebaliknya menjadi wadah penting bagi pemain industri tempatan dan antarabangsa mempamerkan kepakaran masing-masing.
Menurut beliau, penyertaan turut melibatkan pemain industri dari Indonesia dan Singapura, sekali gus membuka peluang kerjasama rentas sempadan serta memperkukuh jaringan industri kreatif di peringkat serantau.
“Ini bukan hanya tentang festival, tetapi satu platform yang membolehkan pelbagai industri mempamerkan apa yang mereka ada, bukan sahaja untuk pemain tempatan, malah turut melibatkan pemain besar dari Indonesia dan Singapura,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.
Acara itu menyasarkan penyertaan pelabur antarabangsa, pembeli serantau serta profesional kreatif, dengan impak yang dijangka merangkumi peningkatan sektor pelancongan selaras sasaran lima juta pelawat ke Sarawak.
Selain itu, ia turut dijangka menjana perdagangan yang memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta artisan tempatan, di samping mengukuhkan hubungan diplomatik menerusi ekonomi kreatif rentas sempadan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Morshidi Fredrick serta Pengarah Festival The Friendship Diplomacy, Andy Eric Manuhutu.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Sarah Nicole