Program ‘Revisiting Paku Rock Maze Garden’ Sasar Lonjak Pelancongan Komuniti di Bau
BAU: Destinasi ekopelancongan Paku Rock Maze Garden bakal menjadi tumpuan utama menerusi penganjuran program ‘Revisiting Paku Rock Maze Garden’ yang dijadual berlangsung dari 30 April hingga 3 Mei ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Dato Miro Simuh berkata, penganjuran program tersebut bertujuan mempromosikan keindahan alam semula jadi serta keunikan geologi kawasan Paku yang menjadi antara produk pelancongan utama di daerah ini.
"Sepanjang acara empat hari tersebut, pelbagai pengisian telah disusun bagi berkongsi maklumat berharga berkaitan alam sekitar.
"Selain mempromosikan acara, kita juga mahu menggalakkan lebih ramai pengunjung datang ke sini untuk menikmati khazanah alam yang kita miliki," jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena penganjuran program tersebut di sini pada Khamis.
Tambahnya, program ini dirancang khusus untuk memposisikan Paku Rock Maze Garden sebagai tarikan pelancongan mampan yang diterajui sepenuhnya oleh komuniti setempat, selain menjadi pemacu kepada aktiviti ekonomi di daerah Bau.
Dato Miro turut menekankan kepentingan model Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) yang melibatkan kerjasama erat antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pihak berkuasa tempatan.
Jelas beliau, inisiatif ini memastikan manfaat pembangunan dan ekonomi dapat dirasai secara langsung oleh penduduk lokal.
"Daerah Bau sangat bertuah kerana dikelilingi keindahan semula jadi. Selain Paku Rock Maze Garden, pengunjung boleh melawat destinasi lain seperti Paku Hot Spring, Gua Pari-Pari, Gua Angin, Tasik Biru, Pusat Kebudayaan Gumbang, dan Pekan Siniawan.
"Segala pembangunan ini dijalankan supaya manfaatnya kembali semula kepada komuniti," jelasnya.
Beliau menambah, Paku Rock Maze Garden merekodkan sekitar 1,000 hingga 2,000 pengunjung sebulan.
Ujarnya lagi, melalui pendekatan 'revisit-driven', program kali ini menyasarkan kehadiran pengunjung lama dan baharu menerusi pengisian aktiviti yang lebih segar dan diterajui oleh komuniti setempat.
Justeru, beliau menjemput orang ramai untuk hadir bagi memeriahkan acara tersebut dan mengambil peluang untuk menerokai pelbagai tarikan pelancongan menarik di sekitar daerah Bau. -EDISI UKAS