Pertandingan Sepak Takraw Piala PEKEMA 2026 Himpunkan Kelab Borneo, Cungkil Bakat Baharu
KUCHING: Penganjuran Pertandingan Sepak Takraw Piala Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Cawangan Sarawak 2026 dilihat sebagai platform penting dalam memperkasa pembangunan sukan sepak takraw di Sarawak, khususnya dalam usaha mencungkil bakat baharu serta memperluas pendedahan pemain ke peringkat lebih tinggi.
Edisi Ke-3 pertandingan yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 7 Jun depan di Stadium Bandaraya Miri bakal menghimpunkan penyertaan kelab-kelab dari seluruh Sarawak serta jemputan khas dari wilayah Borneo termasuk Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei Darussalam dan Kalimantan.
Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Fudin Chee berkata, kejohanan tersebut dianjurkan secara terbuka namun terhad kepada 30 regu sahaja bagi memastikan kualiti pertandingan berada pada tahap terbaik.
“Pertandingan ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan penyertaan dalam kalangan kelab tempatan, malah menjadi medan untuk mempromosikan sukan sepak takraw sebagai warisan bangsa di samping meningkatkan minat masyarakat terhadap sukan ini.
“Kita juga memberi peluang kepada pasukan-pasukan tempatan termasuk skuad Sukan Malaysia (SUKMA) untuk menyertai kejohanan ini sebagai pendedahan awal sebelum bersaing di pentas lebih besar,” katanya semasa sidang media di Dewan Sri PEKEMA, di sini pada Khamis.
Menurut beliau lagi, yuran penyertaan sebanyak RM400 bagi setiap regu dikenakan dengan tarikh tutup penyertaan pada 25 Mei ini.
Tambahnya, kejohanan tersebut menawarkan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM10,500, dengan juara bakal membawa pulang RM5,000, naib juara RM2,500 manakala tempat ketiga bersama masing-masing menerima RM1,500.
Mengenai pemilihan Miri sebagai lokasi penganjuran, beliau berkata ia langkah strategik memandangkan kedudukannya yang mampu menarik penyertaan lebih luas termasuk dari luar Sarawak.
“Kita berharap kejohanan ini dapat menjadi acara tahunan yang berprestij serta memperkukuh jaringan hubungan antara kelab, di samping meningkatkan lagi kualiti dan daya saing sukan sepak takraw di peringkat serantau,” ujarnya.
Pertandingan tersebut turut disifatkan sebagai antara inisiatif berterusan dalam memperkembangkan ekosistem sukan sepak takraw di negeri ini serta memperluas sokongan peminat terhadap sukan tradisional berkenaan.-EDISI UKAS