Ibu Bapa ‘Kalah Masa’ Dengan Gajet, Institusi Keluarga Terancam
KUCHING: Ketagihan penggunaan gajet dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak kini semakin membimbangkan apabila menjejaskan masa berkualiti bersama keluarga serta berpotensi menggugat keharmonian institusi kekeluargaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, fenomena ‘kehilangan masa’ akibat penggunaan peranti digital menjadi antara cabaran paling kritikal dalam kehidupan moden hari ini.
“Apabila kita bercakap tentang masa… anak-anak kita asyik tengok telefon bimbit saja. Bukan sahaja anak-anak, malah ibu bapa juga sama… terlalu banyak masa diluangkan pada ini dan kurang masa diluangkan pada keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penangguhan Kursus Kasih Keibubapaan Digital Siri 1/2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.
Menurut beliau, dalam dunia tanpa sempadan, masyarakat tidak mempunyai pilihan selain menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, namun kawalan dan batasan perlu diberi keutamaan.
“Kita tak boleh menafikan teknologi… kita kena sealiran, tetapi dalam masa yang sama kita perlu mengetahui apa adalah batasan,” jelasnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa pendedahan gajet tanpa kawalan sejak usia awal boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan anak-anak.
“Kita kena lihat waktunya, apa pengisian dalam telefon bimbit… pada akhirnya anak kita yang akan menjadi mangsa, terlalu terikat dengan gadget-gadget ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan ibu bapa perlu mengambil tindakan proaktif termasuk menghadkan tempoh penggunaan peranti serta menapis kandungan yang diakses oleh anak-anak.
“Kita boleh mengurangkan masa… menutup beberapa laman web yang tak boleh diterima oleh anak-anak… kita harus mulakan dari awal,” katanya.
Tambahnya, pendedahan melalui kursus serta perkongsian kes sebenar seperti penipuan dalam talian dapat membantu meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan ibu bapa terhadap ancaman digital.
Beliau menegaskan bahawa tanpa kawalan yang berkesan, teknologi berpotensi menjadi ancaman serius kepada masa depan institusi keluarga.-EDISI UKAS
Wartawan: Lonney Jinab Doris
Jurugambar: Mohammad Naseem Razali