Industri Maritim tawar peluang luas, golongan muda disaran rebut peluang
SIBU: Golongan muda disaran merebut peluang dalam industri maritim yang masih memerlukan lebih ramai tenaga kerja tempatan, khususnya di rantau Asia Tenggara.
Penolong Pengarah Pejabat Laut Sibu, Jasri M Shaah berkata Malaysia masih ketinggalan dari segi jumlah pelaut berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.
“Keadaan ini menunjukkan bahawa masih banyak ruang dan peluang untuk anda semua menceburi bidang ini.
“Justeru, kami pihak Jabatan Laut akan sentiasa menyokong mana-mana institusi latihan seperti TCCS Marine dalam usaha melahirkan tenaga kerja maritim yang berkualiti dan mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Graduasi TCCS Marine Sibu di Bangunan TCCS Marine pada Khamis.
Menurut beliau, industri maritim bukan sahaja menawarkan kerjaya yang cerah, malah memberikan pendapatan kompetitif kepada mereka yang komited.
Sehubungan itu, graduan digalakkan menjadi ejen perubahan dengan menarik minat lebih ramai golongan muda menyertai bidang tersebut.
Pada majlis itu, seramai 40 graduan diraikan melibatkan 14 Chief Mate dan Master, 22 Mate Domestic serta empat Watchkeeping Engineer.-EDISI UKAS