Pustaka Sibu sasar bentuk masyarakat berdaya saing menerusi amalan membaca
SIBU: Pustaka Negeri Sarawak cawangan Sibu terus melangkah proaktif dalam memperkasakan budaya membaca sebagai pemacu utama pembangunan modal insan dan masyarakat berpengetahuan di negeri ini.
Pemangku Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak, Sibu, Nurfarathul Aqma Julani berkata inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menitikberatkan ekonomi berasaskan pengetahuan serta kesejahteraan sosial.
“Pustaka Negeri Sarawak sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif seperti program galakan membaca, literasi maklumat dan digital, pembelajaran komuniti, serta kerjasama strategik dengan agensi dan institusi pendidikan bagi memperkasa budaya ilmu dan pembelajaran berterusan dalam kalangan masyarakat.
“Semoga usaha kecil ini dapat menyemai minat membaca dan seterusnya membentuk masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya sempena Program JomBaca Bersama 10 Minit sempena sambutan Hari Buku Sedunia yang berlangsung di Wisma Sanyan, pada Khamis.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Sayeed Azmee Wan Junaidi mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr Annuar Rapa'ee.
Mengulas lanjut, Nurfarathul mengakui bahawa perubahan gaya hidup dan perkembangan teknologi masa kini memberikan cabaran ketara dalam menarik minat masyarakat terhadap pembacaan.
Bagi mendepani cabaran tersebut, beliau menjelaskan bahawa pihak Pustaka sentiasa memperkenalkan pendekatan yang lebih interaktif dan inklusif untuk mendekati komuniti.
"Program JomBaca Bersama 10 Minit ini merupakan salah satu platform permulaan ke arah pembentukan tabiat membaca secara konsisten melalui amalan membaca selama 10 minit," jelas beliau lagi.
Program tahunan yang diadakan sempena Hari Buku Sedunia ini merupakan kerjasama strategik antara Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bersama pelbagai agensi perpustakaan dan pendidikan di seluruh negara.
Beliau turut menyifatkan sokongan padu daripada agensi seperti Perpustakaan Awam MPS, Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Pejabat Residen, Pejabat Daerah, serta Pejabat Pendidikan Daerah Sibu sebagai tunjang keberkesanan program tersebut.
"Ini sekaligus menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Nombor 17 iaitu Kerjasama Demi Matlamat," tambahnya.
Hadir sama Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.-EDISI UKAS