MIRI: Isu fasiliti uzur di Sekolah Kebangsaan (SK) Anchi yang berpotensi menjejaskan keselamatan murid ditangani segera menerusi peruntukan berjumlah RM200,000 bagi kerja-kerja naik taraf menyeluruh.
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata tindakan itu diambil susulan tinjauan lapangan yang mendapati beberapa kemudahan sekolah berada dalam keadaan kritikal dan tidak lagi selamat digunakan.
Menurut beliau, antara kerosakan utama dikenal pasti termasuk kebocoran serius serta siling rosak yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu, sekali gus meningkatkan risiko kepada murid dan warga sekolah.
Peruntukan awal RM100,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 akan digunakan untuk membaik pulih bumbung dan siling di Blok A melibatkan empat bilik darjah serta beberapa bilik khas termasuk bilik bimbingan dan kaunseling, bilik muzik, bilik pendidikan seni visual dan stor peralatan pendidikan jasmani.
Dalam pada itu, tambahan RM100,000 disalurkan sebagai langkah intervensi segera bagi membaik pulih sebuah lagi blok bangunan yang mengalami masalah serupa, selain menaik taraf Makmal Komputer B untuk dijadikan kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Langkah tersebut penting bagi memastikan seramai 21 murid pendidikan khas di sekolah berkenaan dapat mengikuti pembelajaran dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.
Beliau menegaskan bahawa isu keselamatan tidak boleh dikompromi dan kerja-kerja pembaikan perlu dilaksanakan tanpa penangguhan.
Walaupun SK Anchi telah berusia lebih 100 tahun, beliau menekankan bahawa faktor usia tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan penyelenggaraan yang kritikal.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan akan memantau pelaksanaan projek secara rapi bagi memastikan kerja naik taraf berjalan lancar serta memenuhi standard keselamatan yang ditetapkan.
Tindakan segera ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan kualiti pembelajaran murid sentiasa terpelihara.-EDISI UKAS