Inisiatif Bas Shuttle SKS Miri Kurangkan Kesesakan, Tingkatkan Keselesaan Pengunjung
MIRI: Penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Miri menyediakan perkhidmatan bas shuttle percuma bagi memudahkan pergerakan pengunjung sepanjang tiga hari program bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Pengerusi Pengelola SKS Bahagian Miri merangkap Residen Bahagian Miri, Galong Luang berkata, inisiatif dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) itu bertujuan melancarkan perjalanan orang ramai ke lokasi program di Stadium Miri selain mengurangkan kesesakan trafik.
Menurut beliau, dua laluan utama disediakan iaitu dari Terminal Bas Pelita ke Stadium Miri serta dari Perhentian Bas Boulevard ke Stadium Miri.
“Perkhidmatan ini beroperasi setiap 30 minit atau lebih kerap bergantung kepada jumlah penumpang.
“Ia bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam pada 24 dan 25 April, manakala pada 26 April beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang,” katanya dalam temubual bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) Miri pada Jumaat.
Program SKS Bahagian Miri dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung dari sekitar Miri serta kawasan berhampiran termasuk Baram, Sibuti, Bintulu dan Brunei.
Selain perkhidmatan shuttle, kemudahan parkir turut disediakan, namun orang ramai yang menggunakan kenderaan sendiri dinasihatkan mematuhi arahan petugas trafik serta papan tanda yang disediakan.
Penganjur turut menggesa pengunjung merancang perjalanan lebih awal dan mengelakkan waktu puncak bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang program berlangsung.
Acara kemuncak program ialah majlis perasmian oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg pada 25 April (Sabtu), jam 10.30 pagi di Khemah Utama, Stadium Miri.
Sepanjang program, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 serta Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Turut disediakan Sarawak Pavilion yang menempatkan pelbagai kaunter perkhidmatan awam termasuk sesi temu duga oleh JobSarawak.
Selain itu, pelbagai aktiviti komuniti dianjurkan seperti senamrobik, SKS Fun Run 3 kilometer, Miri Kitchen, sukaneka rakyat, e-sukan serta persembahan kebudayaan dan Konsert Rakyat pada sebelah malam.- EDISI UKAS