Pelabuhan Laut Miri Diperluas, Lonjak Potensi Hab Industri Utara Sarawak
MIRI: Peluasan Pelabuhan Laut Miri membuka lembaran baharu pembangunan ekonomi negeri apabila fasiliti itu dijangka muncul sebagai hab industri strategik di utara Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kemajuan projek kini berada pada tahap memberangsangkan dengan sasaran mencapai tahap signifikan sebelum musim monsun tahun ini.
“Daripada pemerhatian kita, kemajuan pelabuhan ini sangat positif dan saya percaya sebelum musim monsun, kita akan capai tahap pembangunan yang signifikan,” katanya dalam sidang media selepas lawatan rasmi ke tapak Projek Pengerukan di Pelabuhan Miri, pada Sabtu.
Beliau menambah, pembangunan struktur North Bank dan South Bank akan meningkatkan kedalaman laut sehingga 10 meter, sekali gus membolehkan pelabuhan tersebut menerima kapal bersaiz besar termasuk kapal pesiaran.
“Apabila North Bank dan South Bank siap, kedalaman boleh mencecah 10 meter yang mencukupi untuk kapal besar termasuk kapal pesiaran,” jelasnya.
Tambah beliau, pembinaan benteng bukan sahaja mengurangkan impak ombak, malah berpotensi mewujudkan kawasan pesisir baharu melalui proses pemendapan semula jadi.
“Kita akan lihat tanah baharu terbentuk dan berkembang dari masa ke masa. Inilah konsep yang kita sebut sebagai ‘mini Shanghai’ di Miri,” ujarnya.
Jelasnya, kawasan baharu itu berpotensi dimajukan sebagai hab industri dan komersial, sekali gus menarik pelaburan serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Selain itu, pelabuhan berkenaan dijangka berfungsi sebagai pintu keluar utama bagi kawasan pedalaman utara Sarawak, melengkapi peranan Bintulu sebagai hab eksport sedia ada.
Dalam perkembangan sama, projek itu turut membuka peluang kepada industri pembinaan kapal dan limbungan tempatan menembusi pasaran antarabangsa termasuk Timur Tengah dan Australia.
“Dengan fasiliti lebih tersusun, kita boleh tingkatkan kualiti pembinaan kapal dan mengembangkan pasaran eksport,” katanya.
Tambahnya lagi, pembangunan tersebut akan menyokong industri minyak dan gas melalui penyediaan kemudahan logistik serta perkhidmatan sokongan.
Projek bernilai RM208.9 juta itu kini mencatat kemajuan fizikal sekitar 55 peratus dan berada di hadapan jadual, dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang suku keempat 2026.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Miri, Dato Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datu Chiew Chee Yau serta Ketua-ketua Jabatan berkaitan. – EDISI UKAS