Dana CSR RM407,500 manfaatkan 36 penerima di Serembu
BAU: Seramai 36 penerima di kawasan Serembu menerima manfaat langsung berjumlah RM407,500 menerusi Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Dana Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) Serembu 2026 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Komuniti Serembu, pada Sabtu.
Penerima terdiri daripada 20 persatuan, lapan rumah ibadat serta lapan sekolah, sekali gus memperkukuh pembangunan sosial, pendidikan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri bersama Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta pemegang lesen dalam memastikan manfaat pembangunan dapat disalurkan secara inklusif kepada rakyat.
Dalam ucapannya, wakil Jabatan Tanah dan Survei Kuching, Abang Ahmad Mazlan Abg Ariffin memaklumkan bahawa sebelum ini sebanyak RM289,000 telah diagihkan kepada penerima, manakala majlis kali ini merupakan siri keempat pelaksanaan sejak 2023.
Menurut beliau, kesinambungan program tersebut membuktikan usaha berterusan pihak jabatan dalam menjaga kebajikan masyarakat setempat, selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan aspek inklusiviti sosial.
“Di bawah tunjang ini, kerajaan negeri memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan tanpa ada pihak yang tercicir,” katanya.
Sementara itu, ADUN Serembu, Dato Miro Simuh menyifatkan inisiatif CSR sebagai pendekatan berkesan dalam menyokong pembangunan komuniti, khususnya di kawasan yang memerlukan perhatian.
Beliau menegaskan bahawa CSR bukan sekadar sumbangan bermusim, sebaliknya merupakan instrumen keadilan sosial yang memastikan hasil daripada aktiviti ekonomi dapat dikongsi bersama masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar semua penerima menggunakan peruntukan yang disalurkan secara berhemah dan berfokus supaya manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh.
Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi; wakil Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Alexander Ronny serta pemimpin komuniti setempat.
Program ini dijangka diteruskan dengan siri seterusnya di kawasan Tasik Biru pada 29 April ini sebagai usaha berterusan memperkasa pembangunan komuniti di kawasan Serembu.- EDISI UKAS