Pendidikan Penentu Agihan Kekayaan Sarawak, Tanpa Ilmu Rakyat Tercicir
SIBU: Kekayaan Sarawak tidak akan dapat dinikmati secara menyeluruh tanpa pelaburan berterusan dalam pendidikan, yang menjadi penentu utama peningkatan pendapatan rakyat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, walaupun Sarawak mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita antara tertinggi di Malaysia, manfaatnya tidak akan dirasai sepenuhnya jika rakyat tidak dilengkapi ilmu dan kemahiran.
Menurut beliau, peningkatan hasil per kapita adalah penting supaya kekayaan negeri dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat, dan tanpa pendidikan, manfaat tersebut tidak akan dapat dinikmati secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Jom Masuk Universiti 2026 (JMU 2026) Zon Sarawak II di Universiti Teknologi Sarawak pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) sebagai langkah strategik dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada rakyat Sarawak.
Menurutnya, sokongan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWFF) menjadi asas penting dalam memastikan kelangsungan inisiatif tersebut untuk generasi akan datang.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar penganjuran karnival pendidikan diperluaskan kepada tiga zon utama iaitu selatan, tengah dan utara bagi memastikan capaian lebih menyeluruh di seluruh negeri.
Sementara itu, Karnival JMU 2026 merupakan platform nasional yang menghimpunkan institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi memberi pendedahan serta bimbingan kepada pelajar dalam menentukan hala tuju pendidikan.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Datuk Sri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS Prof Dr Ahmad Hata Rasit, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof Dr Zainal Amin Ayub serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Rudy Adrie Idris.
Penegasan ini mencerminkan keperluan mendesak untuk menjadikan pendidikan sebagai teras utama dalam memastikan kekayaan negeri diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat secara inklusif dan berterusan.-EDISI UKAS