Rumah Panjang Batang Ai Terima Pelbagai Manfaat Infrastruktur, Peruntukan Dan Inisiatif Kerajaan
LUBOK ANTU: Penduduk Rumah Panjang James Jembon, Panjai Ruai Asal menerima pelbagai manfaat pembangunan hasil penganjuran Program Bersama Komuniti Batang Ai yang menghimpunkan agensi kerajaan dan pemimpin setempat.
Program pada Sabtu tersebut menyaksikan perasmian rumah panjang baharu oleh Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), sekali gus meningkatkan kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada 14 pintu yang turut menerima kemudahan pendawaian elektrik.
Selain itu, komuniti setempat turut menikmati pelbagai bantuan langsung termasuk peruntukan RM15,000 masing-masing kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Panjai Ruai Asal dan Panjai Ruai Baru, RM10,000 kepada Biro Wanita serta RM150,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kerja pendawaian elektrik.
Bagi kawasan yang masih belum mempunyai bekalan air bersih, kerajaan akan memperkenalkan sistem alternatif SAWAS sebagai penyelesaian jangka sederhana untuk meningkatkan akses air kepada penduduk rumah panjang.
Dalam masa sama, peruntukan sebanyak RM2.5 juta turut diluluskan bagi kerja pembersihan sungai, yang dijangka memberi manfaat kepada komuniti setempat dari segi keselamatan, kebersihan dan kelancaran aktiviti harian.
Program tersebut juga membuka peluang ekonomi kepada penduduk melalui penglibatan Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) yang menyediakan kemudahan gerai, pengecualian cukai pintu serta perkhidmatan pelesenan, termasuk lesen anjing.
Agensi lain seperti Jabatan Veterinar dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut hadir menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat, sekali gus memudahkan urusan tanpa perlu ke bandar.
Dalam sektor pendidikan, kerajaan turut mengumumkan inisiatif pendidikan percuma untuk anak Sarawak serta pelaksanaan Batang Ai Education Fund dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB), yang dijangka memberi peluang lebih luas kepada generasi muda luar bandar.
Turut dimaklumkan, potensi pelaburan projek penanaman buluh bernilai RM2.9 bilion mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat, sekali gus meningkatkan pendapatan komuniti rumah panjang.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan masyarakat rumah panjang tidak terpinggir, sebaliknya terus menikmati pembangunan infrastruktur, kemudahan asas serta peluang ekonomi secara inklusif.- EDISI UKAS