Pesta Benak Sri Aman Diperkasa Sebagai Tarikan Pelancongan Ikonik, Pacu Ekonomi Setempat
SIMANGGANG: Penganjuran Pesta Benak Sri Aman akan terus diperkasa sebagai produk pelancongan utama bagi menarik kehadiran pengunjung luar sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, usaha memperkukuh daya tarikan pesta tersebut perlu diberi penekanan melalui perancangan aktiviti yang lebih strategik dan berimpak tinggi.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Post Mortem Pesta Benak Sri Aman 2025 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) pada Jumaat.
Menurutnya, kehadiran pengunjung luar amat penting dalam memperkenalkan keunikan fenomena benak sebagai salah satu produk pelancongan unggul di Bahagian Sri Aman.
“Peningkatan jumlah pelawat bukan sahaja membantu mempromosikan identiti pelancongan tempatan, malah memberi impak langsung kepada aktiviti ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak komited untuk terus menaik taraf infrastruktur termasuk jalan raya di kawasan bandar Simanggang bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang pesta berlangsung.
Perbincangan turut memfokuskan kepada isu serta cabaran sepanjang penganjuran edisi 2025, selain meneliti langkah penambahbaikan bagi memastikan kejayaan penganjuran akan datang.
Mengulas lanjut, Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berharap agar jawatankuasa penganjur terus mengekalkan komitmen tinggi dalam menjayakan pesta berkenaan sebagai pemangkin pembangunan Bahagian Sri Aman.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh dan Pegawai Daerah Sri Aman, Sharif Bujang. -EDISI UKAS