88 Pelajar DUN Muara Tuang Terima Wang Ehsan Pendidikan Berjumlah RM40,000
KOTA SAMARAHAN; Seramai 88 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima Wang Ehsan Pendidikan dengan jumlah keseluruhan RM40,000 dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Marqas Operasi DUN Muara Tuang, di sini, pada Jumaat.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang berkata, bantuan tersebut merupakan inisiatif berterusan bagi meringankan beban pelajar serta keluarga di samping menggalakkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurut beliau, sokongan pendidikan seperti ini amat penting dalam memastikan generasi muda tidak tercicir, sekali gus mampu melahirkan modal insan berkualiti untuk masa depan negeri.
“Gunakan bantuan ini sebaiknya untuk keperluan pengajian. Ini adalah peluang untuk adik-adik berjaya dan mengubah kehidupan keluarga,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa ilmu merupakan asas utama dalam membentuk kejayaan dan keperibadian seseorang, selain menyeru pelajar agar menghargai pengorbanan ibu bapa dan guru.
Beliau juga mengingatkan pelajar agar memanfaatkan kemudahan teknologi secara bijak untuk tujuan pembelajaran dan tidak leka dengan perkara yang boleh menjejaskan masa depan.
Pada masa sama, beliau berharap para pelajar terus berusaha mencapai kecemerlangan serta kembali menyumbang kepada masyarakat dan negeri pada masa hadapan.
Turut hadir, Ketua Marqas Operasi Pusat Khidmat DUN Muara Tuang Aziz Mohamad dan Pegawai Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan Ustaz Muhammad Sanusi Md Nor. -EDISI UKAS