Sibu Sasar Jadi Hab Powerboat Antarabangsa, Sungai Rajang Kelebihan Strategik
SIBU: Bahagian Sibu mengorak langkah strategik untuk muncul sebagai hab perlumbaan bot laju (powerboat) bertaraf antarabangsa, dengan kelebihan semula jadi Sungai Rajang sebagai faktor pemacu utama.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan negeri merancang untuk menginstitusikan penganjuran acara tersebut dengan memasukkannya ke dalam kalendar pelancongan rasmi Sarawak.
Menurut beliau, langkah itu akan memberi kepastian kepada peserta antarabangsa untuk merancang penyertaan, sekali gus memperkukuh kedudukan Sibu sebagai destinasi sukan air yang kompetitif di peringkat global.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perlumbaan Powerboat Antarabangsa Sibu (SIPR) 2026 di Tebingan Sungai Pulau Li Hua pada Jumaat.
Tambah beliau, keluasan Sungai Rajang menyediakan kapasiti penganjuran yang lebih besar, membolehkan penyertaan bot dalam jumlah tinggi berbanding lokasi lain yang semakin terhad.
Dalam perkembangan sama, SIPR 2026 mencatat pencapaian signifikan apabila berjaya menghimpunkan 251 bot laju dalam satu acara, sekali gus melayakkannya untuk pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Pencapaian tersebut mengukuhkan lagi keupayaan Sibu sebagai lokasi penganjuran sukan air berskala besar, selain membuktikan tahap kesiapsiagaan logistik serta sambutan yang memberangsangkan.
Usaha ini dilihat sebagai pemangkin kepada transformasi Sibu sebagai destinasi utama sukan air antarabangsa, sekali gus merangsang pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Acara yang berlangsung dari 24 hingga 26 April itu turut menarik kehadiran pengunjung yang membanjiri lokasi penganjuran dalam suasana meriah, sekali gus memperlihatkan potensi besar sebagai produk pelancongan sukan.
Turut hadir Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Setiausaha Tetap kementerian Julin Alen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Dato Rolland Duat serta Residen Bahagian Sibu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Petugas Pelancongan (DTTG) Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman. - EDISI UKAS