Maraton Antarabangsa Mampu ‘Sesakkan’ Sibu, Lonjak Ekonomi Setempat
SIBU: Sibu berpotensi muncul sebagai destinasi baharu pelancongan sukan berskala besar, melengkapkan penganjuran maraton di Sarawak yang kini tertumpu di Bintulu dan Miri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, inisiatif tersebut mampu memperluas landskap pelancongan sukan negeri yang ketika ini tertumpu di Bintulu dan Miri.
Menurut beliau, penganjuran maraton berskala besar bukan sahaja meningkatkan profil Sibu di peringkat antarabangsa, malah memberi limpahan ekonomi ketara kepada sektor perhotelan, inap desa serta perniagaan tempatan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perlumbaan Powerboat Antarabangsa Sibu 2026 di Tebingan Sungai Pulau Li Hua pada Jumaat.
Tambah beliau, acara maraton berpotensi mengaktifkan keseluruhan bandar dengan kehadiran peserta dan pelawat, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap kemudahan penginapan dan perkhidmatan tempatan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Sarawak mencatatkan kutipan pelancongan melebihi RM12 bilion dalam tempoh setahun lalu, dengan purata lebih RM1 bilion sebulan.
Jelasnya, hasil tersebut mengalir terus kepada komuniti termasuk pengusaha hotel, restoran, penggiat kraftangan dan peniaga kecil, sekali gus memperkukuh ekonomi setempat.
Langkah ini dilihat sebagai pemangkin penting dalam meletakkan Sibu sebagai pemain baharu dalam penganjuran sukan antarabangsa, sekali gus mempercepat pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi bandar.-EDISI UKAS