Laksa Sarawak buktikan keunggulan, raih emas di pentas antarabangsa
KUCHING: Kejayaan chef tempatan dari Kuching dalam pertandingan MasterChef of Foodex 2026 di Ho Chi Minh City, Vietnam membuktikan keupayaan gastronomi Sarawak bersaing di peringkat global, sekali gus mengharumkan nama negeri di pentas antarabangsa.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata penyertaan delegasi chef dari Kuching bukan sekadar memenuhi pertandingan, malah berjaya mencipta impak besar dengan meraih pelbagai anugerah dalam kalangan 400 peserta, termasuk 300 dari Vietnam dan 100 peserta antarabangsa.
“Chef kita bukan sekadar menyertai pertandingan ini, tetapi berjaya mencipta impak besar di pentas antarabangsa,” katanya pada sidang media MasterChef of Foodex 2026 pada Jumaat.
Antara pencapaian paling membanggakan ialah pingat emas yang diraih Chef Lana Akam dari Fairy Tavern menerusi hidangan ikonik Laksa Sarawak, yang menonjolkan keseimbangan rasa serta keaslian kuah yang kaya dengan identiti tempatan.
Menurut Dato Wee, kejayaan tersebut membuktikan bahawa Laksa Sarawak bukan sekadar hidangan popular, tetapi simbol warisan yang mampu diketengahkan di peringkat global.
“Apabila kita bercakap tentang Kuching, kita bercakap tentang makanan kerana ia adalah sebahagian daripada identiti kita,” ujarnya.
Selain itu, Chef Janncy Nyohim turut menyumbang pingat gangsa menerusi inovasi nasi lemak berasaskan bahan tempatan seperti bunga kantan dan beras tradisional, mencerminkan evolusi masakan tanpa mengabaikan akar budaya.
Dua lagi chef dari Little Fairy Cafe, Chef Nicky Nelson dan Chef Robbie Richard Balcarek masing-masing meraih pingat perak, manakala dalam kategori berkumpulan, pasukan Kuching turut membawa pulang pingat perak, sekali gus memperlihatkan kekuatan kerjasama dalam komuniti kulinari tempatan.
Dalam kategori lain, Chef Benny Huang dan Wilson Voon masing-masing meraih pingat perak, sementara Chef Ronald Bong mencatat kejayaan dengan satu pingat gangsa dan satu pingat perak.
Kejayaan Kuching turut diperakui di peringkat penjurian antarabangsa apabila Chef Jordan dan Chef Julian Lai dijemput sebagai juri, mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran kulinari Sarawak.
Dato Wee menegaskan pencapaian tersebut mengukuhkan lagi kedudukan Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO serta membuka ruang lebih luas untuk mempromosikan kepelbagaian makanan dan warisan negeri ke peringkat dunia.
“Ini menunjukkan Kuching bukan sahaja dikenali kerana makanan yang enak, tetapi juga kecemerlangan dalam bidang gastronomi,” katanya lagi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua chef yang terlibat dan berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk meneroka bidang kulinari sebagai kerjaya masa depan.
Tambahnya, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan terus komited menyokong pembangunan sektor gastronomi kerana makanan bukan sahaja berkaitan rasa, tetapi juga menyentuh budaya, identiti dan membuka peluang ekonomi.- EDISI UKAS