Program Kampung Angkat MADANI Perkasa Kemudahan Kampung Nour Iman
BINTULU: Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terus memperkukuh pembangunan komuniti luar bandar, termasuk di Kampung Nour Iman, Kuala Tatau.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, kampung tersebut dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program yang menyaksikan pelbagai kemudahan asas berjaya ditambah baik demi kesejahteraan penduduk.
Menurut beliau, antara projek yang dilaksanakan termasuk menaik taraf dewan masyarakat bagi kegunaan aktiviti komuniti, selain pemasangan lampu solar di beberapa lokasi strategik untuk meningkatkan aspek keselamatan dan pencahayaan pada waktu malam.
“Turut dilaksanakan pembinaan platform tinjau serta penambahbaikan sistem saliran bagi memastikan persekitaran kampung lebih selesa, tersusun dan kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program MOTAC Bersama Komuniti@Bintulu sempena Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI MOTAC di Kampung Nour Iman, Kuala Tatau pada Jumaat.
Tambahnya, program berkenaan turut memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi komuniti menerusi pelaksanaan latihan kemahiran dalam penghasilan produk kraf tempatan yang berpotensi untuk dikomersialkan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keperluan agensi kerajaan untuk lebih responsif dan proaktif dalam menangani isu rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, pendekatan turun padang perlu diperkasakan bagi memastikan setiap permasalahan dapat dikenal pasti dan diselesaikan secara lebih berkesan.
Beliau turut menekankan kepentingan mengenal pasti punca sebenar sesuatu isu sebelum tindakan diambil bagi mengelakkan masalah sama berulang.
Selain itu, usaha membanteras penyalahgunaan dadah juga perlu dipertingkatkan melalui kerjasama bersepadu antara agensi berkaitan serta pelaksanaan program kesedaran yang menyeluruh di peringkat komuniti dan institusi pendidikan.- EDISI UKAS