Komitmen Berterusan Pastikan Penduduk Meradong Tidak Tercicir
MERADONG: Kerajaan Sarawak terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan penduduk rumah panjang di kawasan Meradong tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, usaha tersebut digerakkan menerusi pelaksanaan projek rakyat secara berterusan termasuk program baik pulih rumah bagi menyediakan kediaman yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada penduduk.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kebajikan antaranya Kenyalang Gold Card (KGC), bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB), Bantuan Ibu Bersalin (BIB) serta Program Endowment Fund Sarawak (EFS) bagi membantu meringankan beban rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Lawatan Pra Gawai Hari Keenam DUN Meradong yang berlangsung di rumah panjang kawasan Sungai Mador, Bintangor, pada Rabu.
Tambah beliau, lawatan tersebut merupakan program tahunan yang dilaksanakan setiap kali menjelang perayaan Gawai sebagai pendekatan untuk mendekati rakyat serta memahami keperluan dan permasalahan mereka secara lebih dekat.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama semua pihak termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta kepimpinan akar umbi dalam memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Katanya, sikap proaktif di peringkat komuniti amat penting dalam mewujudkan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh di kawasan DUN Meradong.-EDISI UKAS