801 Pelajar di Sarikei Terima Bantuan Pakaian Seragam dan Kasut Sekolah
SARIKEI: Seramai 801 pelajar daripada 10 buah sekolah di Sarikei menerima manfaat daripada inisiatif bantuan pakaian seragam dan kasut sekolah yang disalurkan bagi meringankan beban keluarga.
Antara sekolah terlibat ialah SJK(C) Ming Tak, SK Rentap, SJK(C) Bulat, Sekolah Menengah Ming Lik, SK Penghulu Andin, SJK(C) Su Dok, SK Assun, SK Sungai Paoh, SMK Sungai Paoh dan SMK Sarikei Baru.
Bantuan tersebut telah diagihkan oleh Pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Repok melalui lawatan ke beberapa sekolah, sekali gus memastikan pelajar dapat memulakan sesi persekolahan dalam keadaan lebih selesa dan yakin.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, khususnya dalam memastikan akses pendidikan yang lebih baik kepada pelajar.
Menurut beliau, pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk masa depan, justeru tiada pelajar seharusnya tercicir atau berasa rendah diri hanya kerana kekurangan kelengkapan sekolah.
“Bantuan ini diharap dapat memberi semangat kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu turut menegaskan komitmen berterusan dalam memperkasakan sektor pendidikan agar peluang pembelajaran yang adil dan saksama dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.-EDISI UKAS