Pemergian Dato’ Sri Tajang Laing Kehilangan Besar Kepada Rakyat Belaga
BELAGA: Pemergian tokoh tersohor masyarakat Orang Ulu, Dato’ Sri Tajang Laing, disifatkan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada rakyat Belaga, malah seluruh Sarawak.
Mendiang yang meninggal dunia di Kuching malam tadi pada usia 100 tahun meninggalkan legasi kepimpinan yang amat besar, khususnya dalam memperjuangkan pendidikan, perpaduan dan pembangunan masyarakat pedalaman.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang berkata, pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar kepada komuniti Orang Ulu dan negeri ini secara keseluruhannya.
Menurut beliau, mendiang merupakan figura bapa kepada masyarakat Orang Ulu yang telah banyak mencorakkan hala tuju pembangunan komuniti tersebut.
“Beliau adalah pendidik Kayan pertama dari Belaga, selain menjadi antara perintis dalam kepimpinan negeri sebagai anggota legislatif dan menteri.
“Sumbangan beliau dalam menanam kepentingan pendidikan telah memberi inspirasi kepada generasi untuk berusaha mencapai masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon turut menyifatkan mendiang sebagai seorang perintis sejati yang membuka jalan kepada pemimpin dari kawasan pedalaman untuk tampil ke peringkat tertinggi kerajaan.
Katanya, perjuangan mendiang yang sanggup meredah cabaran ke pedalaman demi mendekati rakyat menjadi inspirasi kepada pemimpin masa kini.
“Sumbangan beliau telah meletakkan asas kepada kemajuan yang kita terus usahakan hari ini—jalan raya yang lebih baik, infrastruktur yang lebih kukuh, akses pendidikan yang dipertingkatkan, serta agenda pembangunan yang lebih inklusif untuk rakyat kita.
“Yang lebih penting, beliau membawa identiti, maruah, dan aspirasi masyarakat Orang Ulu dengan penuh kebanggaan. Beliau mengingatkan kita bahawa warisan kita bukanlah satu batasan, tetapi satu kekuatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Thomas Balan Bang turut menyifatkan Sarawak kehilangan seorang pemimpin berwawasan yang banyak berjasa kepada negeri ini.
Beliau berkata, jasa dan pengorbanan mendiang dalam memperjuangkan pendidikan dan pembangunan masyarakat akan terus dikenang oleh generasi akan datang.
“Kita kehilangan seorang lagenda...seorang pemimpin yang berwawasan. Beliau seorang pemimpin yang berani, beliau tidak takut membuat keputusan yang sukar.
“Kita banyak berhutang budi kepadanya…kejayaan kita, pendidikan kita. Beliau telah berjuang untuk kebaikan, beliau telah menamatkan perlumbaan. Semoga rohnya bersemadi dalam kedamaian abadi,” katanya.
Menurut kenyataan keluarga, jenazah mendiang akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Sungai Asap pada Ahad ini bagi penghormatan terakhir.-EDISI UKAS