ORV Sarawak: 5,500 Anjing Divaksin Dalam Tempoh Dua Minggu
KUCHING: Usaha bersepadu pelbagai agensi dan rakan strategik dalam membanteras rabies di Sarawak terus menunjukkan perkembangan positif apabila kira-kira 5,500 ekor anjing berjaya divaksin dalam tempoh dua minggu menerusi pelaksanaan program vaksinasi parenteral dan ‘Oral Rabies Vaccination’ (ORV).
Presiden ‘Sarawak Society for the Prevention of Cruelty to Animals’ (SSPCA), Datin Sri Dona Drury Wee berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil hampir dua tahun perancangan rapi, penyelarasan strategik serta komitmen berterusan sejak penganjuran Rabies in Borneo Conference 2024.
Menurut beliau, kejayaan itu turut didorong oleh penglibatan menyeluruh pelbagai pihak termasuk pasukan veterinar, petugas lapangan serta sokongan teknikal di belakang tabir merangkumi aspek logistik, latihan, pengurusan data dan penglibatan komuniti.
“Pendekatan menyeluruh ini membolehkan kita bukan sahaja mencapai haiwan peliharaan, malah turut meliputi anjing liar dan berkeliaran, sekali gus menutup jurang kritikal dalam usaha memerangi rabies,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis penghargaan kepada pasukan pelaksana program ORV, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru pemilik haiwan peliharaan agar lebih bertanggungjawab dengan memastikan haiwan mereka divaksin, memandangkan langkah tersebut bukan sahaja melindungi haiwan, malah keselamatan keluarga dan komuniti secara keseluruhan.
“Tiada alasan untuk tidak mengambil tindakan. Vaksinasi adalah tanggungjawab bersama dalam memastikan kesejahteraan awam terus terpelihara,” tegasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata usaha pembanterasan rabies tidak terhenti setakat vaksinasi semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pelaksanaan kajian lapangan bagi mengenal pasti populasi anjing dan kucing serta tahap kesedaran masyarakat terhadap program yang dijalankan.
Jelasnya, dapatan tersebut amat penting dalam membantu kerajaan merangka dasar serta memperkukuh strategi intervensi yang lebih efektif dan mampan pada masa hadapan.
Dalam usaha memperkukuh perkongsian ilmu dan amalan terbaik, orang ramai turut dijemput menyertai Rabies in Asia Conference yang akan diadakan bersekali dengan program Rabies in Borneo dari 29 September hingga 1 Oktober ini di Borneo Convention Centre Kuching.
Persidangan tersebut dianjurkan bersama oleh Place Borneo Sdn Bhd dan Department of Veterinary Services Sarawak sebagai platform pertukaran kepakaran global serta penerokaan pendekatan baharu dalam menangani rabies.
Datin Sri Dona turut menegaskan bahawa usaha menghapuskan rabies memerlukan komitmen kolektif semua pihak termasuk kerajaan, organisasi, masyarakat sivil dan komuniti setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak, Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) serta rakan antarabangsa seperti ‘World Veterinary Service’, ‘Mission Rabies’ dan ‘Ceva Santé Animale’ atas sokongan kepakaran teknikal dan latihan. -EDISI UKAS