Jadual Padat Bukan Halangan, Premier Sarawak Santuni Warga Miri Dalam ‘Brisk Walk’
MIRI: Di sebalik jadual rasmi yang padat, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg tetap meluangkan masa menyantuni rakyat dengan menyertai program ‘brisk walk’ sempena Program Sarawakku Sayang Bahagian Miri 2026 di Taman Bulatan Miri pada pagi Sabtu.
Menarik perhatian, orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri lokasi program seawal jam 6 pagi bagi bersama-sama menyertai aktiviti gaya hidup sihat tersebut, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif mendekatkan kerajaan dengan rakyat.
Program dimulakan dengan sesi senamrobik yang turut disertai oleh Premier Sarawak, memperlihatkan komitmen berterusan kepimpinan negeri dalam menggalakkan kesejahteraan fizikal serta gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
Suasana santai namun penuh semangat jelas dirasai apabila beliau bersama barisan pemimpin negeri dan peserta lain meneruskan aktiviti ‘brisk walk’ mengelilingi taman berkenaan.
Lebih bermakna, kesempatan itu turut dimanfaatkan Premier Sarawak untuk berinteraksi secara mesra dengan orang ramai, sekali gus memperkukuh hubungan erat serta semangat kekitaan yang menjadi tunjang kepada inisiatif Sarawakku Sayang.
Usai program, beliau dijadualkan menghadiri majlis perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Miri 2026 yang berlangsung di Stadium Miri.
Hadir sama memeriahkan program ‘brisk walk’ itu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Miri Galong Luang, Ketua-ketua Jabatan serta yang lain.-EDISI UKAS