Penantian Lebih Enam Dekad Berakhir, SMK Julau Terima Suntikan Pembangunan Baharu
JULAU: Penantian lebih enam dekad masyarakat di Julau untuk menikmati kemudahan pendidikan pasca menengah akhirnya menjadi kenyataan apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau kini rasmi memiliki pusat pengajian Tingkatan 6, sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap pendidikan daerah tersebut.
Perkembangan itu turut disusuli dengan pelaksanaan beberapa projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong keperluan pembelajaran serta meningkatkan keselesaan warga sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa akses pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, sebelum ini pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari SMK Julau dan SMK Julau No. 2 terpaksa melanjutkan pengajian Tingkatan 6 di SMK Meradong, sekali gus menambah kos perjalanan dan perbelanjaan harian keluarga.
“Pembukaan Tingkatan 6 di SMK Julau bukan sahaja membuka peluang lebih luas kepada pelajar, malah mengurangkan beban kewangan keluarga serta memastikan akses pendidikan yang lebih adil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Menyantuni Pelajar Perintis Tingkatan Enam di SMK Julau pada Rabu.
Tambah beliau, hasil usaha berterusan serta sokongan Kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia, SMK Julau kini menerima kumpulan pertama seramai 98 pelajar yang ditempatkan dalam tiga kelas bagi sesi pertama tahun ini.
Seiring dengan pertambahan jumlah pelajar katanya, beberapa projek pembangunan turut dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan sekolah, termasuk pembinaan dewan serbaguna baharu menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan peruntukan RM500,000.
Selain itu, dewan makan sekolah akan dinaik taraf dengan peruntukan kira-kira RM350,000 bagi menyediakan ruang yang lebih selesa, manakala sebuah pintu gerbang baharu bernilai RM100,000 akan dibina bagi memperindah persekitaran sekolah serta memperkukuh identitinya sebagai institusi pendidikan utama di kawasan tersebut.
Dalam masa sama, tiga bilik darjah yang digunakan untuk pengajian Tingkatan 6 akan dilengkapi dengan kemudahan penghawa dingin bagi memastikan suasana pembelajaran yang lebih kondusif.
Justeru itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak serta Pejabat Pendidikan Daerah atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sehingga hasrat tersebut berjaya direalisasikan.
Beliau berharap kemudahan baharu ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan pencapaian akademik serta melahirkan lebih ramai anak tempatan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.-EDISI UKAS