Miri Disasar Jadi Hab Ekonomi Antarabangsa, Setanding Shanghai Menerusi Pembangunan Pelabuhan Baharu
MIRI: Bandaraya Miri berada di landasan untuk muncul sebagai hab ekonomi moden bertaraf antarabangsa, dengan aspirasi pembangunan setanding Shanghai melalui pelaksanaan projek Pelabuhan Miri yang bakal merubah landskap ekonomi dan fizikal wilayah utara Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan pelabuhan tersebut akan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi baharu, merangkumi sektor perkapalan, perkilangan, pelancongan serta pembangunan komersial secara bersepadu.
Menurut beliau, selain berfungsi sebagai hab logistik dan pintu keluar eksport bagi produk seperti kelapa sawit, kayu serta produk baharu, projek berkenaan turut berpotensi mewujudkan sebuah bandar baharu di kawasan Kuala Baram hasil pembentukan tanah melalui aliran hidrolik.
“Satu daripada kajian saintifik kita, aliran hidrolik akan membawa sisa-sisa dan membentuk satu kawasan yang boleh dibangunkan sebagai industri perkilangan dan juga bangunan komersial yang akan mengubah landskap Kuala Baram.
“Ini nanti akan menjadi satu bandar kecil yang akan menjadi tarikan. Kalau ini dapat kita bangunkan, insya-Allah Miri akan menjadi satu bandar macam Shanghai di China,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Miri, pada Sabtu.
Tambahnya, pembangunan pelabuhan laut dalam yang mampu menerima kapal bersaiz besar termasuk kapal persiaran dijangka memberi limpahan besar kepada sektor pelancongan, selaras dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pertumbuhan berasaskan infrastruktur dan ekonomi bernilai tinggi.
Dalam masa sama, Kerajaan Sarawak turut komited memperkukuh rangkaian perhubungan darat melibatkan laluan Miri–Marudi–Mulu serta Long Panai dan Long Lama, termasuk mengambil alih serta menaik taraf jalan balak sepanjang 2,700 kilometer bagi meningkatkan aksesibiliti dan merancakkan aktiviti ekonomi luar bandar.
"Namun pada masa sekarang kita perlu mendapat keizinan apabila menggunakan jalan balak dan keadaannya tidak begitu baik. Panjang jalan balak ini 2,700 kilometer dan Kerajaan Sarawak akan mengambil alih dan menaiktaraf jalan ini.
"Ini akan mengubah infrastruktur di kawasan tersebut dan juga pendapatan ekonomi rakyat," jelasnya.
Pada majlis sama, Premier Sarawak turut menyempurnakan simbolik penyerahan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), menyampaikan dokumen Native Territorial Domain (NTD) dan penyerahan tawaran Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) kepada 10 pelajar yang melanjutkan pengajian ke Curtin University Malaysia.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri-Menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri serta kenamaan lain. - EDISI UKAS