Bantuan FTES Buat Pelajar Terharu, Ringankan Beban Pengajian
MIRI: Peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kini menjadi lebih bermakna buat pelajar di Sarawak dengan adanya Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), yang memberi harapan baharu kepada mereka dan keluarga.
Ia dizahirkan melalui pemberian tawaran FTES kepada 10 orang penuntut Curtin University Malaysia.
Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena perasmian program Sarawakku Sayang (SKS) bahagian Miri di Stadium Miri pada Sabtu.
Penuntut Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik Aaron Vigory Anak Sugandy berkata, bantuan tersebut amat besar ertinya dalam meringankan beban keluarganya.
“Keluarga saya kurang berkemampuan dan sentiasa berusaha keras untuk memenuhi keperluan harian.
"Terima kasih kepada kerajaan Sarawak, saya akan gunakan peluang ini untuk belajar dan menolong keluarga saya,” katanya ketika ditemui media di Khemah Sarawak Pavilion, Stadium Miri selepas majlis tersebut.
Jeremy Lawai Andrew, yang mengikuti Sarjana Muda Perdagangan (Kewangan dan Pengurusan) berkata, bantuan tersebut membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran tanpa dibelenggu kebimbangan kewangan.
Anak muda berbangsa Kelabit itu melahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana menyediakab FTES untuk membantu anak Sarawak melanjutkan pelajaran.
Turut berkongsi rasa kesyukuran ialah Irdina Qahirah Dobby Ismandy, pelajar Sarjana Muda Perdagangan (Perakaunan) yang menyifatkan bantuan FTES sebagai pemangkin untuk beliau melangkah lebih jauh dalam bidang akademik.
Menurutnya, peluang itu bukan sahaja meringankan beban kos pengajian, malah memberikan ketenangan untuk fokus terhadap pembelajaran.
Bagi Chloe Wong Ji Yan, yang mengikuti Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Tenaga) bantuan yang diterima menjadi dorongan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang diceburi.
Beliau turut meluahkan rasa gembira dan bersyukur atas keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu golongan pelajar.- EDISI UKAS