Perhimpunan Pelajar DUN Nangka Dirancang Ogos Ini Bagi Perkukuh Jaringan
SIBU: Satu perhimpunan pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka dirancang pada Ogos ini bagi memperkukuh hubungan dan jaringan sesama mereka.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, perancangan program tersebut kini giat dilaksanakan termasuk mendapatkan maklum balas pelajar bagi menentukan tarikh yang sesuai.
Menurut beliau, persiapan awal telah dimulakan sejak April bagi memastikan penganjuran berjalan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.
“Tarikh dan lokasi program masih belum dimuktamadkan, namun satu tinjauan melalui borang dalam talian telah dijalankan bagi menentukan pilihan majoriti peserta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Insentif Pendidikan DUN Nangka Siri 1/2026 di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat DUN N.55 Nangka, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka memaklumkan bahawa program berkenaan akan melibatkan semua pelajar di bawah pusat khidmat tersebut, termasuk mereka yang sedang melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat.
Sementara itu, menurutnya, seramai 24 pelajar yang telah menerima surat tawaran melanjutkan pengajian telah menerima insentif pendidikan sebanyak RM500 setiap seorang pada majlis berkenaan.
Datuk Dr. Annuar berkata, bantuan pendidikan yang disalurkan melalui pusat berkenaan kini diperluaskan kepada semua pelajar yang melanjutkan pengajian, tidak lagi terhad kepada pelajar cemerlang sahaja.
Ujarnya, bantuan itu diberikan tanpa mengira institusi, sama ada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS), sebagai usaha memastikan keadilan kepada semua pelajar.-EDISI UKAS