SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menyeru seluruh warga Sibu agar memanfaatkan kuasa kolektif bagi mencetuskan perubahan lestari, terutamanya dalam mendepani cabaran alam sekitar yang semakin meruncing di bandar ini.
Pengerusi MPS, Clarence Ting, menegaskan bahawa kepesatan pembangunan bandar perlu dilaksanakan secara seimbang dengan usaha pemeliharaan alam sekitar tanpa menjejaskan ekosistem sedia ada.
"Sepertimana yang dapat dilihat, walaupun di kawasan rekreasi kita sendiri, kita adakalanya terpaksa mengorbankan kawasan hijau bagi memberi laluan kepada kemudahan infrastruktur seperti tempat letak kereta.
"Justeru, selari dengan tema tahun ini, ia menjadi tanggungjawab dan kuasa kita untuk memulihkan planet ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian Sambutan Hari Bumi 2026 bertemakan 'Our Power, Our Planet' di Taman Tasik Permai, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Clarence turut mengaitkan kepentingan kesedaran alam sekitar dengan insiden kebakaran di tapak pelupusan sampah Kemuyang yang baru-baru ini menjejaskan kualiti udara di sekitar Sibu.
Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir masyarakat yang masih membuang sampah ke dalam sistem saliran, yang bukan sahaja menjejaskan ekosistem, malah meningkatkan beban kerja pihak berkuasa dalam menjalankan operasi pembersihan.
"Longkang bukan tong sampah. Buanglah sampah di tempat yang sepatutnya," tegasnya.
Di samping itu, beliau menyentuh mengenai keberkesanan inisiatif 'Ways to Wealth' yang kini semakin mendapat tempat di hati masyarakat Sibu sebagai usaha efektif mengurangkan sisa buangan domestik.
Namun begitu, beliau mengakui bahawa Sibu masih berdepan cabaran berkaitan kawalan vektor serta peningkatan populasi anjing jalanan yang membimbangkan pada tahun ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru para pemilik haiwan peliharaan agar lebih bertanggungjawab dan tidak membiarkan haiwan mereka berkeliaran tanpa pengawasan demi keselamatan komuniti setempat.
Turut hadir semasa majlis ini ialah Timbalan Pengerusi MPS, Mohammed Abdullah Izkandar Roseley serta Pengerusi Penganjur Kaunselor Sean Wong.-EDISI UKAS