Sarikei Perkukuh Agenda Kebersihan dan Kelestarian Bandar
SARIKEI: Majlis Daerah Sarikei (MDS) terus memberi penekanan terhadap usaha mengekalkan kebersihan dan kelestarian bandar ini agar kekal selesa, hijau serta sejahtera untuk didiami oleh masyarakat setempat dan generasi akan datang.
Pengerusi MDS, Kaunselor Stephen Wong Kie Yong berkata, komitmen terhadap kebersihan serta inisiatif hijau perlu dilaksanakan secara berterusan dengan penglibatan aktif semua pihak.
Menurut beliau, pelbagai program kebersihan dan aktiviti penghijauan telah dilaksanakan dan akan terus dijalankan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.
“Hasil tinjauan pagi ini menunjukkan hanya sedikit sampah ditemui di sepanjang laluan, sekali gus membuktikan tahap kebersihan Sarikei berada pada tahap yang baik.
“Perkara ini menunjukkan masyarakat semakin bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan persekitaran masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Program Go Plogging Rendah Karbon Sempena Hari Bumi 2026 di Taman Tasik Sarikei, di sini pada Sabtu.
Kaunselor Stephen menambah, maklum balas daripada pengunjung luar turut memperlihatkan imej positif Sarikei sebagai sebuah bandar yang bersih dan selesa.
Dalam pada itu, katanya, aktiviti penanaman pokok turut dilaksanakan sebagai usaha memperkukuh agenda kelestarian dan menjadikan Sarikei lebih hijau.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha menjaga kebersihan bandar perlu menjadi tanggungjawab bersama agar manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan.-EDISI UKAS