Pengagihan MRP Bukit Kota Guna Pendekatan Fleksibel, Utamakan Keperluan Penerima
LIMBANG: Pengagihan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di konstituensi Bukit Kota guna pendekatan secara fleksibel dengan mengambil kira keperluan sebenar setiap penerima bagi memastikan manfaat dapat diagihkan secara optimum.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pendekatan tersebut penting bagi mengelakkan kekangan peruntukan serta memastikan setiap organisasi mampu melaksanakan aktiviti yang dirancang.
“Pengurusan kewangan adalah sangat penting maka kita menggunakan pendekatan yang fleksibel, bukan sama rata.
"Ada yang menerima RM2,000, RM5,000, dan ada juga sehingga RM10,000, bergantung kepada keperluan.
"Oleh itu, diharapkan semua pihak dapat memahami dan tidak membuat perbandingan.” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Geran MRP pada Jumaat.
Menurut beliau, peruntukan MRP diagihkan kepada pelbagai penerima termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), surau, institusi keagamaan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta Tabika KEMAS dan perpaduan bagi melaksanakan aktiviti tahunan.
Tambahnya, sebahagian peruntukan telah disalurkan lebih awal kepada JKKK dan surau, manakala pengagihan pada kali ini melibatkan PIBG Sekolah Rendah dan Menengah, Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS), Tabika KEMAS, Tabika Perpaduan, Kuil dan Gereja .
Beliau memaklumkan setiap ADUN menerima peruntukan MRP sebanyak RM2 juta setahun dan jumlah keseluruhan peruntukan yang diagihkan pada hari ini adalah sebanyak RM468,000.
Pada masa sama, beliau menggalakkan semua pihak untuk mendapatkan sumber kewangan tambahan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dan agensi berkaitan bagi memastikan kelangsungan aktiviti masing-masing.
Menyentuh mengenai Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), beliau berkata kawasan tersebut menerima peruntukan sebanyak RM5 juta setiap tahun yang telah membawa pelbagai perubahan positif di kampung dan sekolah terutamanya bagi pembinaan dewan sekolah dan kemudahan lain.
Namun jelas beliau, pelaksanaan projek yang melibatkan sekolah memerlukan pematuhan kepada prosedur tertentu kerana melibatkan bidang kuasa kerajaan Persekutuan, sekali gus menyebabkan beberapa kelewatan.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan usaha membantu tetap diteruskan dan menolak dakwaan bahawa bantuan yang disalurkan bersifat politik, sebaliknya demi kepentingan masyarakat khususnya dalam memperkasa sektor pendidikan.
Hadir sama wakil Pegawai Pendidikan Daerah Limbang, Marlina Zaini; Pegawai KEMAS Bahagian Limbang, Khairul Amree Abdul Rahman; wakil Pegawai Perpaduan Bahagian Limbang, Mohd Hasyim Daimon dan Pengelola PPWS Limbang/Lawas, Nurul Izza Hanis.- EDISI UKAS