SIBU: Sebuah karya berunsur sejarah yang menghimpunkan catatan perjuangan kemerdekaan di Sarawak, “Secebis Kisah Perjuangan Bangsa: Ikhlasnya Pengorbanan Indahnya Kemerdekaan” hasil nukilan Allahyarham Hamdan Marais telah dilancarkan dalam satu majlis rasmi di Hotel Tanahmas, Sibu pada Ahad.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof telah menyempurnakan pelancaran buku tersebut yang berjaya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak sebagai mengenang jasa dan menghargai usaha Allahyarham Hamdan dalam menghasilkan buku yang penuh makna tersebut.
Penghasilan buku ini merupakan catatan peristiwa lama yang berkaitan dengan sejarah dan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan di Sarawak melalui rakaman pengalaman dan
kajian yang dilakukan oleh Allahyarham sendiri.
Semasa berucap, Datuk Amar Fadillah berkata buku tersebut menawarkan pengajaran penting kepada generasi muda Malaysia, khususnya mereka yang terlibat dalam kepimpinan masyarakat dan politik.
Beliau mengingatkan bahawa kegagalan memahami sejarah boleh menyebabkan kesilapan lalu berulang dan menghalang kemajuan.
"Zaman sekarang, kalau kita tidak belajar tentang sejarah, ianya tidak akan memberi pengajaran kepada kita.
"Sebab kalau kita tidak belajar sejarah, sejarah akan berulang. Kesalahan yang lepas akan berulang... kita tidak akan dapat bergerak ke hadapan," tegas beliau.
Sebagai tanda sokongan, Ahli Parlimen Petra Jaya itu turut mengumumkan peruntukan untuk mencetak 5,000 naskhah buku tersebut bagi diedarkan ke sekolah seluruh Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai bahan pengajaran dan panduan masa depan.
Terdahulu, Ketua Pengarah DBP Hazami Jahari dalam ucapan aluan berkata, buku berkenaan merupakan kesinambungan kerjasama kali kedua antara penulis dengan DBP.
Sebelum ini katanya, melalui penerbitan buku pertama berjudul Masjid Al-Qadim Nadi Masyarakat Islam Sibu pada tahun 2022, Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Pak Den telah berperanan sebagai rakan penyelidik yang menyalurkan pelbagai maklumat berkaitan dengan sejarah perkampungan masyarakat Melayu di Sibu kepada pihak DBP.
“Dalam proses penghasilan karya ini, Allahyarham Pak Den amat berharap agar buku ini dapat dibaca dan dimanfaatkan oleh anak bangsa sebagai pengajaran tentang kepentingan merakam setiap peristiwa sejarah dan perkembangan bangsa,” ujarnya.
Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, tokoh korporat Tan Sri Bustari Yusuf, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Datuk Dr Annuar Rapaee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad, Ketua Pengarah DBP Hazami Jahari, Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, wakil keluarga Allahyarham, Madina Hamdan dan tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS