Karnival Sukan Zon Pangkor Perkukuh Perpaduan Komuniti Gedong
GEDONG: Semangat kesukanan dan kerjasama yang tinggi dalam kalangan masyarakat menjadi pemangkin kejayaan penganjuran Karnival Sukan Zon Pangkor yang berlangsung di Kampung Lubok Buntin, pada Ahad.
Program anjuran Pergerakan Pemuda Zon Pangkor, Gedong itu berjaya menghimpunkan kira-kira 200 penduduk setempat merangkumi pelbagai peringkat umur, sekali gus mencerminkan keharmonian serta perpaduan kukuh dalam komuniti luar bandar.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, kekuatan sesebuah komuniti bergantung kepada kesatuan dan kerjasama erat antara penduduk.
“Apabila masyarakat bersatu, setiap program yang dirancang mampu dilaksanakan dengan jayanya,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan karnival tersebut.
Beliau turut menggesa agar semangat perpaduan terus diperkasa melalui pelbagai inisiatif komuniti termasuk aktiviti sukan, kebudayaan dan pembangunan sosial.
Menurutnya, peranan pemimpin akar umbi seperti ketua kampung dan wakil komuniti amat penting sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara.
Mengulas cabaran semasa, beliau menekankan keperluan masyarakat untuk lebih proaktif dalam meningkatkan pendapatan susulan peningkatan kos sara hidup, termasuk meneroka sektor pertanian, penternakan serta teknologi moden seperti hidroponik.
Dalam aspek pembangunan, Rodiyah memaklumkan Daerah Gedong terus menerima pelbagai projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan raya dan jambatan bagi memperkukuh jaringan perhubungan serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Selain itu, perancangan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 yang melibatkan peruntukan besar turut dirangka bagi menaik taraf kemudahan awam dan prasarana komuniti.
Beliau turut menyeru golongan belia agar memainkan peranan lebih aktif sebagai rakan strategik dalam pembangunan kampung dengan memanfaatkan teknologi secara positif.
Karnival Sukan Zon Pangkor diharap dapat diteruskan sebagai acara tahunan dalam usaha mengeratkan silaturahim serta memperkukuh perpaduan masyarakat.
Turut hadir Pegawai Daerah Gedong, Jamain Wahab; Wakil Pusat Khidmat Gedong, Awang Abdul Rahman Awang Hamid; Guru Besar SK Lubok Buntin, Hanafi Sunip; Ketua Kampung Lubok Buntin, Ahmad Rebi serta Ketua Pemuda Zon Pangkor Gedong, Jamain Meden.- EDISI UKAS