Premier Sarawak Dijangka Serah 2,000 Geran Tanah Kepada Penduduk Bau Jun ini
BAU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dijangka menyampaikan kira-kira 2,000 geran hak milik tanah kepada penduduk di daerah Bau pada 23 Jun depan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, penyerahan geran tersebut akan diadakan sempena majlis perasmian Pusat Kebudayaan Bidayuh (BCC) Bau.
Beliau menegaskan, usaha kerajaan Sarawak dalam mengagihkan geran tanah kepada rakyat dilaksanakan secara berterusan dan bukan bermotifkan kepentingan politik bermusim.
“Kerajaan negeri telah lama komited dalam memastikan hak milik tanah penduduk, khususnya tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), diiktiraf dan diserahkan secara sah,” katanya.
Menurutnya, kawasan Singai mencatat perkembangan memberangsangkan dalam proses penyerahan geran tanah sejak 2019, dengan ratusan penerima mendapat hak milik secara berperingkat.
Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut bermula pada Januari 2019 di Kampung Sudoh dengan penyerahan 636 geran melibatkan beberapa kampung termasuk Kampung Daun, Kampung Tanjong Bowang dan Kampung Senibung, selain melibatkan kawasan Rizab Komunal Bumiputera untuk tujuan pertanian dan warisan.
Usaha itu diteruskan pada Februari 2020 di Kampung Bobak Sejinjang dengan penyerahan 528 geran kepada penduduk dari Kampung Sudoh, Kampung Atas, Kampung Bobak Sajong dan Kampung Daun.
Seterusnya, pada September 2020, sebanyak 132 geran diserahkan di Kampung Tanjong Poting melibatkan beberapa kampung berhampiran.
Pada September 2022 pula, seramai 305 penerima menerima geran tanah masing-masing dalam majlis di Pentas Pesta Tasik Biru, melibatkan penduduk Kampung Barieng, Kampung Senibung dan Kampung Skibang.
Bagi tahun 2024, sejumlah 845 penerima dari beberapa kampung termasuk Kampung Segong, Kampung Senibung, Kampung Tanjong Poting, Kampung Apar, Kampung Sibuluh, Kampung Atas dan Kampung Grogo turut menerima geran tanah.
Datuk Henry berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan program ‘BiSingai Townhall’ yang berlangsung di Dewan Datuk Peter Nansian Ngusie, Kampung Apar Singai, pada Ahad.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan insentif pendidikan berjumlah RM39,100 kepada 86 pelajar dari kawasan DUN Tasik Biru yang melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, diploma dan ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi.
Turut hadir Presiden REDEEMS, Datuk Peter Nansian Ngusie; Life President REDEEMS, Datuk Wilfred Rata Nissom; Timbalan Presiden REDEEMS, Dr Les Met; Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi; Temenggong Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching, Temenggong Atok Derop serta Pemanca Masyarakat Bidayuh Daerah Bau, Pemanca Robert Tom Juin.- EDISI UKAS