Jelajah Aspirasi Komuniti Sihat Sejahtera Perkasa Usaha Pencegahan Dadah Di Kampung Semariang
KUCHING: Usaha membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti terus diperkasa menerusi penganjuran Program Jelajah Aspirasi Komuniti Sihat Sejahtera.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, usaha memerangi penyalahgunaan dadah bukan sahaja terletak di bahu kerajaan, malah memerlukan kerjasama erat antara semua pihak termasuk masyarakat, keluarga dan individu.
“Pendekatan bersepadu yang melibatkan pendidikan, advokasi serta interaksi sosial secara langsung amat penting dalam memperkukuh kesedaran dan ketahanan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian program berkenaan yang berlangsung di Dewan KASBA, Kampung Semariang, di sini, pada Ahad.
Beliau turut menjelaskan bahawa program tersebut memberi tumpuan kepada tiga komponen utama iaitu memperkukuh kesedaran komuniti, mengarusperdanakan peranan klien Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai agen perubahan, serta meningkatkan kehadiran agensi penguatkuasaan di kawasan berisiko tinggi.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan beberapa inisiatif pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Kampung Semariang bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat termasuklah pembinaan sebuah masjid baharu dan pelaksanaan skim pembesaran kampung.
Menurut beliau, pembangunan fizikal dan sosial perlu dilaksanakan secara seiring bagi memastikan kesejahteraan komuniti dapat dicapai secara menyeluruh.
Hadir sama, Penolong Pengarah Cawangan Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK Sarawak Ahmad Fikri Arif Muhammad Fuat, Pegawai Daerah Kuching Zaidi Sarkawi, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Infrastruktur Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Ts Mohamad Faisal Adenan dan Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial Sarawak Riziandy Nawawi. -EDISI UKAS