Pembangunan Infrastruktur Pacu Transformasi Luar Bandar
SIBURAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan luar bandar melalui pelaksanaan projek infrastruktur strategik serta penekanan terhadap pendidikan berteraskan masa depan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkat secara menyeluruh.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menunjukkan prestasi pembangunan yang konsisten, khususnya dalam menaik taraf jaringan jalan raya di kawasan luar bandar.
Antaranya menurut beliau termasuklah projek pembinaan jalan yang menghubungkan Teng Bukap ke Annah Rais kini berada pada fasa penting dengan kos awal sekitar RM80 juta dan akan diteruskan ke fasa kedua melibatkan peruntukan kira-kira RM126 juta.
Selain itu, pembinaan jalan dari kawasan Jalan Link Road ke Kehom yang dianggarkan menelan kos antara RM6 juta hingga RM9 juta dijangka mempertingkatkan lagi akses perhubungan penduduk setempat.
“Setiap projek pembangunan memerlukan perancangan rapi dan perlu melalui proses yang ditetapkan termasuk tender serta justifikasi yang jelas bagi memastikan pelaksanaannya berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Muhibbah anjuran JKKK Kampung Peraya di Dewan Serbaguna Tapah, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau turut mengakui terdapat beberapa kelewatan projek di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) berpunca daripada kekangan sumber manusia dalam agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.
Antara projek yang sedang dalam pelaksanaan termasuk naik taraf jalan Kampung Stabut ke Kampung Peraya bernilai RM5 juta yang kini berada pada peringkat tender.
Dalam perkembangan lain, Dato Sri Roland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat turut menggalakkan komuniti Kampung Peraya dan kawasan sekitarnya untuk meneroka potensi ekopelancongan sebagai sumber ekonomi baharu, mengambil contoh kejayaan beberapa kampung lain yang berjaya menjana pendapatan melalui inisiatif tersebut.
Hadir sama, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Damen Rejek dan wakil Pegawai Daerah Siburan George Harison. -EDISI UKAS