SKS Miri Tarik Lebih 20,000 Pengunjung, Bukti Sambutan Luar Biasa Program Outreach Kerajaan
MIRI: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Miri mencatat kejayaan memberangsangkan apabila berjaya menarik seramai 23,959 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan 'outreach' kerajaan dalam mendekati rakyat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, kehadiran luar jangka itu mencerminkan sambutan amat positif masyarakat setempat terhadap pelaksanaan program berkenaan.
Menurut beliau, program yang berlangsung di Bahagian Miri melibatkan penyertaan 43 agensi dengan 147 perkhidmatan, menjadikannya antara platform penyampaian perkhidmatan kerajaan yang komprehensif kepada rakyat.
“Sepanjang tiga hari penganjuran bermula Jumaat hingga Ahad, pelbagai pengisian telah berjaya dilaksanakan termasuk pameran agensi, aktiviti kesihatan, keusahawanan, sesi perkongsian ilmu serta program kesedaran seperti jenayah siber.
“Program ini bukan sahaja memberi akses terus kepada masyarakat untuk berurusan dengan agensi kerajaan, malah mengukuhkan hubungan dua hala antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Majlis Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Miri yang berlangsung pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa inisiatif keusahawanan menerusi Sarawak Kitchen berjaya mencatat jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM337,227 dalam tempoh tiga hari, sekali gus memberi impak positif kepada pendapatan usahawan tempatan.
Tambah beliau, kejayaan penganjuran program tersebut adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi pelaksana, sektor swasta serta masyarakat setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Opemg atas komitmen berterusan dalam memastikan program berimpak tinggi seperti SKS dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk jawatankuasa penganjur, agensi kerajaan, sukarelawan dan rakan media yang telah bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan.
Majlis penangguhan turut menyaksikan penyampaian hadiah E-Peraduan serta cabutan bertuah yang disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Felicia Tan Ya Hua serta Residen Bahagian Miri, Galong Luang.
Hadir sama, Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak, Sapiah Daud.-EDISI UKAS