ITF Asia/Oceania 2026 Perkukuh Jaringan Antarabangsa Pemain Tenis Muda
KUCHING: Kejohanan ITF World Junior Team Competition Asia/Oceania Final Qualifying 2026 bukan sekadar medan persaingan sukan, sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan serta hubungan antara pemain muda dari seluruh rantau Asia dan Oceania.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, kejohanan yang menghimpunkan pasukan dari pelbagai negara itu mencerminkan kekuatan semangat kesatuan dan kerjasama serantau melalui sukan.
Menurut beliau, meskipun tumpuan utama terarah kepada aksi kompetitif di gelanggang, interaksi sosial di luar gelanggang seperti majlis makan malam dan sesi jaringan turut memberi nilai tambah signifikan kepada pembangunan atlet muda.
“Melalui pertemuan ini, para pemain bukan sahaja berentap, malah berpeluang mengenali antara satu sama lain, bertukar pengalaman serta memahami kepelbagaian budaya dan pendekatan dalam sukan tenis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan & Jalinan Mesra Kejohanan ITF World Junior Team Asia/Oceania di Hotel Waterfront, Kuching pada Ahad.
Beliau menegaskan, hubungan yang terjalin sepanjang kejohanan berpotensi menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang antara negara, sekali gus memperkukuh ekosistem pembangunan sukan di rantau Asia dan Oceania.
Katanya lagi, penyertaan negara seperti Australia, China, India, Jepun, Korea, Kazakhstan, New Zealand serta negara Asia Tenggara termasuk Malaysia mencerminkan komitmen tinggi dalam memajukan sukan tenis di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, Sarawak terus mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi penganjuran acara sukan antarabangsa apabila berjaya menganjurkan beberapa kejohanan bertaraf dunia dalam tempoh singkat.
“Ini termasuk penganjuran Kejohanan Premier Sarawak Cup J300 dan WCTF sebelum ini, menjadikan kejohanan ITF ini sebagai antara pencapaian penting dalam memperkasa industri sukan negeri,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Lawn Tenis Sarawak serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan usaha memastikan kelancaran penganjuran kejohanan tersebut.
Tambahnya, usaha berterusan menganjurkan kejohanan seumpama itu bukan sahaja mempertingkatkan standard sukan tempatan, malah membuka ruang kepada pembinaan hubungan antarabangsa yang lebih kukuh melalui platform sukan.-EDISI UKAS