Program Info On Wheels Perluas Capaian Maklumat Kerajaan di Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Program Info On Wheels (IOW) anjuran Pejabat Penerangan Daerah Samarahan terus memperluas capaian maklumat kerajaan menerusi pendekatan turun padang dengan melaksanakan hebahan di lokasi tumpuan awam sekitar Taman Uni dan Uni Central, di sini, pada Khamis.
Pelaksanaan program ini memberi penekanan kepada dua mesej utama iaitu kestabilan negara yang kekal terpelihara serta komitmen kerajaan dalam melindungi kebajikan rakyat melalui pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Tahun 2026, khususnya bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank.
Melalui pendekatan santai dan interaktif, orang awam diberikan penerangan jelas mengenai kaedah penyaluran STR secara alternatif bagi memastikan golongan sasar terus menerima bantuan tanpa sebarang halangan akses perbankan.
Dalam masa sama, program tersebut turut menjadi platform penyampaian maklumat berkaitan pelbagai inisiatif kerajaan termasuk BUDI MADANI, Internet Selamat, Insentif MADANI, Prinsip Asas Perpaduan serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 yang memberi fokus kepada pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat.
Edaran bahan penerbitan kepada pengunjung di kedua-dua lokasi membantu meningkatkan tahap kesedaran serta pemahaman masyarakat terhadap dasar dan inisiatif semasa kerajaan.-EDISI UKAS