Jalan Kampung Kujang Sain ke Kampung Daha Kisau Akan Dibina
TEBEDU: Pembinaan jalan baharu berturap sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Kampung Kujang Sain ke Kampung Daha Kisau akan dilaksanakan, sekali gus meningkatkan kemudahan perhubungan penduduk di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada menegaskan kepentingan pelaksanaan projek berkenaan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu dalam tempoh 12 bulan.
“Ini adalah bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh penduduk setempat tanpa sebarang kelewatan,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan dokumen lantikan projek kepada kontraktor di Pejabat Daerah Tebedu pada Khamis.
Dr. Simon turut berharap agar jalan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk di kedua-dua kampung selepas siap kelak, sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan serta merancakkan pembangunan sosioekonomi setempat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan beberapa lagi projek berskala besar akan dilaksanakan di kawasan Tebedu dalam masa terdekat termasuk pembinaan Hub Ekonomi dan Kebudayaan Tebedu serta Dataran Mutiara Tebedu.
Menurutnya, kedua-dua projek itu dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta memberi impak besar terhadap peningkatan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar.
Turut menyaksikan penyerahan dokumen berkenaan ialah wakil Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), ketua-ketua kaum dari kampung terlibat, agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya Serian serta pihak perunding Vesar Sdn Bhd.-EDISI UKAS