MIRI: Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering yang berisiko mencetuskan jerebu serta kebakaran tanah gambut yang sukar dikawal di Bahagian Miri ketika ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembakaran terbuka bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, malah berpotensi mencetuskan kebakaran besar, khususnya di kawasan tanah gambut yang mudah terbakar dalam keadaan kemarau.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua agensi di bawah pengurusan bencana di Bahagian Miri supaya berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi serta bertindak pantas dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
“Kesiapsiagaan ini penting bagi memastikan setiap insiden dapat ditangani dengan segera dan berkesan, sekali gus meminimumkan impak terhadap keselamatan penduduk serta alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Sesi Taklimat Ringkas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri di Bilik Mesyuarat EOC, Lapangan Terbang Miri, pada Khamis.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) menegaskan bahawa, semua aset dan peralatan operasi sentiasa berada dalam keadaan baik dan sedia digerakkan pada bila-bila masa.
Terdahulu, taklimat oleh agensi berkaitan merangkumi situasi semasa jerebu, kebakaran, bekalan air dan kesihatan di Bahagian Miri.
Laporan oleh ‘Natural Resources and Environment Board’ (NREB) memaklumkan sebanyak 23 titik panas telah dikesan setakat ini dengan tujuh kes sedang dalam siasatan.
Menurut NREB, pemantauan larangan pembakaran terbuka dilaksanakan secara berterusan, khususnya di kawasan paya gambut Kuala Baram sejak awal Mac lalu, selain verifikasi titik panas di kawasan perladangan komersial bagi mengenal pasti punca kejadian.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Dato Sri Lee Kim Shin dan Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi JPBB Miri Galong Luang. -EDISI UKAS