Projek Naik Taraf Jalan Mawang Tahup–Tema Mawang Bakal Tingkat Akses Penduduk
TEBEDU: Penduduk Kampung Mawang Tahup dan Kampung Tema Mawang bakal menikmati kemudahan infrastruktur jalan yang lebih baik menerusi pelaksanaan projek naik taraf jalan di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan jalan jenis R1 yang akan diturap sepanjang 3.9 kilometer.
Beliau berkata, skop kerja turut merangkumi pembinaan culvert serta pemasangan lampu jalan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna.
“Pelaksanaan projek ini diharap dapat memberi manfaat besar kepada penduduk Kampung Mawang Tahup dan Kampung Tema Mawang, khususnya dalam meningkatkan sistem perhubungan serta memudahkan aktiviti harian masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan dokumen lantikan projek kepada kontraktor di Pejabat Daerah Tebedu pada Khamis.
Menurut Dr. Simon, pelaksanaan projek itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan.
Projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak melalui agensi Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian sebagai agensi pelaksana dalam memperluas jaringan jalan berturap yang lebih moden, selamat dan berkualiti ke kawasan luar bandar.-EDISI UKAS