Umat Islam Perlu Siap Siaga Hadapi Impak Geopolitik Dunia
SIBU: Umat Islam, khususnya di Sarawak, diingatkan agar memperkuat daya tahan dan kesiapsiagaan dalam mendepani impak pergelutan geopolitik dunia yang semakin mencabar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, konflik global melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, Rusia serta pergolakan di Timur Tengah secara langsung memberi kesan kepada rantaian bekalan dan peningkatan kos sara hidup domestik.
"Semuanya itu akan menyebabkan kita berdepan dengan pelbagai cabaran. Sudah pasti kita bercakap mengenai hal minyak dan gas yang juga boleh memberi kesan kepada kita.
“Walaupun ia berlaku di luar, kesannya kepada kita adalah dari segi bekalan dan harga yang sukar kita kawal kerana ia bukan dalam kawalan kita.
"Kos logistik meningkat, insurans naik dan semuanya sedang naik. Kita mungkin akan mula merasai kesannya dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang jika perang masih berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah di Masjid Darul Halim, Teku, di sini pada Ahad yang dihadiri kira-kira 500 jemaah.
Mengulas lanjut, Datuk Amar Fadillah menekankan kepentingan memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui usaha memperluas penanaman padi dan sektor pertanian tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada faktor logistik luar yang tidak menentu.
"Apa yang utama adalah bagaimana kita nak pastikan daya tahan dalam negeri supaya makanan cukup dan keterjaminan makanan itu ada.
“Kita perlu fokus buka ladang menanam padi supaya kita dapat mengawal pertahanan negara dalam negeri kita sendiri," ujarnya.
Selain aspek ekonomi, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menyentuh peranan institusi masjid yang perlu melangkaui fungsi tradisional sebagai tempat ibadah semata-mata.
Menurutnya, masjid harus berfungsi sebagai pusat kecemerlangan ilmu dengan membawa masuk pakar-pakar motivasi dan pembelajaran bagi membantu anak-anak menguasai kemahiran tinggi untuk masa depan.
Dalam pada itu, Datuk Amar Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut menggalakkan masyarakat untuk menguasai teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), sebagai satu kelebihan dalam era digital.
"Kita kena kuasai AI, kalau tidak AI akan menguasai kita. Sekarang macam-macam ada, nampak muka saya, suara saya, cara bercakap seperti saya tetapi sebenarnya bukan saya.
"Kita mesti tahu dan mempunyai ilmu untuk mendepani cabaran ini," tegas beliau.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee serta Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.-EDISI UKAS