SKS Perkasa Penyampaian Maklumat Keusahawanan Belia
MIRI: Penyampaian maklumat yang lebih berkesan menjadi antara fokus utama dalam memperkasa pembangunan keusahawanan belia menerusi sesi Pocket Talk sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 di Stadium Miri, pada Ahad.
Pendekatan ini dilihat penting bagi memastikan peluang, bantuan serta inisiatif keusahawanan yang disediakan kerajaan dapat diakses secara menyeluruh oleh golongan sasaran, khususnya belia di negeri ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, kementeriannya komited melahirkan lebih ramai usahawan muda melalui pendekatan menyeluruh termasuk pelaksanaan Sarawak Youth Startup (SYS).
Menurut beliau, usaha tersebut bukan sekadar memberi latihan asas, malah melibatkan bimbingan berterusan bermula daripada peringkat idea sehingga ke fasa pengembangan perniagaan.
“Antara cabaran utama dalam kalangan belia bukanlah kekurangan peluang, tetapi isu penyampaian maklumat serta tahap kesedaran yang masih rendah.
“Peluang, dana dan program memang sudah tersedia melalui pelbagai agensi kerajaan, namun cabarannya adalah memastikan ia sampai kepada kumpulan sasaran, khususnya belia,” katanya ketika menyampaikan Pocket Talk bertajuk Pembangunan Usahawan Belia.
Beliau menegaskan bahawa penganjuran SKS berperanan sebagai platform 'one stop centre' yang menghimpunkan pelbagai agensi bagi memudahkan akses kepada maklumat, pembiayaan dan sokongan keusahawanan.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan modal ilmu sebagai asas utama kejayaan usahawan berbanding hanya bergantung kepada modal kewangan.
“Tanpa ilmu, modal kewangan boleh habis begitu sahaja. Tetapi dengan pengetahuan, seseorang itu mampu menjana pendapatan walaupun bermula dari kecil,” ujarnya.
Tambah beliau, perubahan pemikiran dalam kalangan belia juga perlu diperkasa agar lebih berani menceburi bidang keusahawanan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada peluang pekerjaan tradisional.
Selain itu jelasnya, pelaksanaan program kohort Sarawak Youth Startup di Sibu menjadi antara inisiatif penting dalam menyediakan bimbingan berstruktur kepada belia, khususnya di zon tengah, supaya mereka mampu berkembang daripada peringkat permulaan hingga ke tahap pengembangan perniagaan.
Sesi Pocket Talk tersebut merupakan antara pengisian utama hari terakhir SKS 2026 di Miri yang turut menampilkan pelbagai topik lain termasuk kesedaran penipuan (scammer) serta situasi ekonomi semasa.
Turut menjayakan sesi ialah Inspektor Sisim Abd Samad dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri yang menyampaikan tajuk “Scammer”, serta Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Siti Khadijah Inhadel yang membincangkan tajuk “Situasi Ekonomi Semasa”.
Penganjuran program seumpama ini dilihat mampu memperkukuh jaringan antara agensi dan belia, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan usahawan muda yang lebih berdaya saing di Sarawak.-EDISI UKAS