MIRI: Kalau dah rezeki takkan ke mana. Begitulah tuah seorang penjawat awam apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah ePeraduan sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Miri, sekali gus membawa pulang sebuah kereta jenis Proton Saga MC3 dalam majlis yang berlangsung meriah di Stadium Miri, pada Ahad.
Pemenang, Abang Hamdin Abang Morsidi yang bertugas di Jabatan Perangkaan, akui terkejut namun bersyukur dan gembira atas kemenangan yang tidak disangka-sangka itu.
“Saya memang tidak menyangka nama saya akan dipanggil sebagai pemenang utama.
"Ini satu rezeki yang amat bermakna buat saya dan keluarga,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Majlis cabutan bertuah tersebut turut diserikan dengan kehadiran ramai peserta yang mengambil bahagian dalam ePeraduan berkenaan, selain menawarkan pelbagai hadiah sampingan kepada pemenang lain.
Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja menjadi platform menghargai penyertaan orang ramai, malah berperanan mengeratkan hubungan komuniti dan kerajaan melalui penyampaian perkhidmatan secara terus. - EDISI UKAS