LAWAS: Pelaksanaan skim pembesaran Kampung Aru di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bakal menjadi pemangkin utama kepada pembangunan menyeluruh di kawasan tersebut, khususnya melibatkan kampung-kampung di seberang Sungai Sundar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja akan merancakkan pembangunan fizikal, malah meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi penduduk setempat secara inklusif dan mampan.
“Pelaksanaan skim ini bertujuan merancakkan pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) di Kampung Aru Sundar, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa beberapa projek sosioekonomi turut dirancang, termasuk pembangunan kawasan penanaman padi secara moden dan komersial serta penerokaan tanah adat bagi menjana pendapatan baharu kepada komuniti luar bandar.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pembangunan fizikal dan ekonomi perlu diseimbangkan dengan pembangunan sosial yang kukuh, khususnya dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah yang semakin membimbangkan.
Menurut beliau, gejala dadah kini bukan sahaja melibatkan golongan dewasa, malah turut menular dalam kalangan belia dan pelajar sekolah sehingga memberi kesan negatif terhadap pemikiran, kesihatan serta produktiviti.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu menyeru agar masyarakat memainkan peranan lebih proaktif dalam memerangi dadah dan tidak hanya bergantung kepada agensi penguatkuasaan semata-mata.
Beliau turut mencadangkan agar pihak polis menyediakan talian hotline di setiap kampung bagi memudahkan penduduk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan, di samping memperkukuh penguatkuasaan serta memperluas penglibatan Skuad Antidadah yang disifatkan sebagai inisiatif berkesan di peringkat akar umbi.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Abdul Hamediee Ibrahim, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa. -EDISI UKAS