SIBUTI: Penubuhan ‘Wellness Hub Sibuti’ merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh kesejahteraan kesihatan komuniti setempat sejajar dengan agenda Kerajaan MADANI yang menekankan pencegahan penyakit serta pemerkasaan rakyat.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, cabaran kesihatan masa kini semakin kompleks, dengan faktor seperti kurang aktiviti fizikal, pemakanan tidak seimbang, tabiat merokok serta tekanan hidup menyumbang kepada peningkatan penyakit dalam kalangan masyarakat.
“Justeru, pendekatan bersepadu yang menekankan pencegahan amat diperlukan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Wellness Hub Sibuti, di sini pada Ahad.
Wellness Hub Sibuti berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan berasaskan komuniti, termasuk saringan dan penilaian risiko kesihatan, konsultasi gaya hidup sihat, intervensi pengurusan berat badan, aktiviti kecergasan, bimbingan remaja serta sokongan kesejahteraan secara menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sibuti turut berharap agar kemudahan ini menjadi pemangkin kepada perubahan gaya hidup masyarakat ke arah yang lebih sihat, di samping menggalakkan penglibatan aktif golongan belia dalam program kesihatan yang dianjurkan.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Suraiya Syed Mohamed, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Mohammad Nazarudin Bahari dan Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr Raviwharmman Packierisamy. -EDISI UKAS