Jalan Murud Suang–Long Pos Pacu Pembangunan Luar Bandar Lawas
LAWAS: Projek pembinaan jalan dari Kampung Murud Suang ke Persimpangan Long Pos bakal menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh jaringan perhubungan luar bandar sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek bernilai RM112.7 juta itu merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak bagi menyediakan kemudahan jalan yang lebih selesa dan selamat kepada penduduk.
“Projek yang telah diluluskan dan mempunyai peruntukan walaupun tidak sepenuhnya perlu dilaksanakan segera.
"Jika kita menunggu sehingga peruntukan lengkap diagihkan, kita hanya akan terus menunggu tanpa tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Membina Jalan dari Kampung Murud Suang ke Persimpangan Long Pos di Kampung Murud Suang, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kontraktor yang dilantik perlu memastikan pelaksanaan projek mematuhi jadual serta spesifikasi ditetapkan, di samping pemantauan berterusan bagi menjamin kualiti kerja.
Pada masa sama, beliau menyeru kerjasama penduduk kampung bagi melancarkan pelaksanaan projek termasuk dalam aspek pengambilan tanah.
“Kita akan pastikan setiap tanah yang terlibat, termasuk tanah adat yang mempunyai bukti pemilikan, akan diberi pampasan mengikut ketetapan termasuk tanaman yang ada,” jelasnya.
Menurut beliau, kepentingan jangka panjang perlu diutamakan demi pembangunan kawasan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Semangat kerjasama dan perpaduan yang kukuh adalah asas kekuatan kita.
"Jangan kita terpengaruh dengan segelintir pihak yang hanya mementingkan diri sendiri sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan pembangunan infrastruktur seperti projek jalan tersebut akan membuka lebih banyak peluang ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat di Lawas, selaras dengan agenda pembangunan Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengarah DID Sarawak Datu Ir. Ts. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Pembangunan Negeri Sarawak Dato Jasni Jubli, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi serta wakil agensi pelaksana dan pemimpin masyarakat setempat.-EDISI UKAS