Sarawak Ungguli Sukan Olimpik Khas Malaysia Ke-6 Sarawak 2026
BINTULU: Kontinjen Special Olympics (SO) Sarawak mengukir sejarah apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukan Olimpik Khas Malaysia Ke-6 Sarawak 2026, sekali gus mengukuhkan dominasi negeri ini dalam arena sukan inklusif negara.
Sarawak bukan sahaja dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik, malah berjaya mengumpul sebanyak 56 pingat emas, 68 perak dan 52 gangsa, hasil prestasi konsisten sepanjang kejohanan yang berlangsung di sini dari 24 hingga 26 April lalu.
Kejayaan itu turut disokong oleh penguasaan kontinjen tuan rumah dalam hampir semua acara yang dipertandingkan apabila daripada lapan acara, SO Sarawak menjuarai tujuh daripadanya iaitu padang dan balapan, renang, bocce, ping pong, boling, badminton dan bola keranjang, manakala hanya acara bola sepak dimenangi oleh SO Kedah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pencapaian ini bukan sahaja membuktikan kecemerlangan atlet, malah memperkukuh mesej bahawa golongan orang kurang upaya (OKU), khususnya individu dengan ketidakupayaan intelek dan perkembangan (IDD), mampu mencapai tahap prestasi tinggi sekiranya diberi peluang yang adil.
Beliau menekankan bahawa, pembangunan OKU perlu berteraskan kesamarataan, keadilan dan keterangkuman, bukan sekadar simbolik dengan menyediakan akses kepada pendidikan, kesihatan, sukan dan sokongan komuniti bagi memastikan golongan ini tidak terpinggir.
Tambah beliau, usaha inklusiviti perlu bermula sejak awal melalui pendekatan pendidikan seperti ‘No One Left Behind, selain diperkukuh melalui program kesihatan seperti 'Healthy Athletes' yang memberi saringan dan rawatan susulan kepada atlet.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus dan Datuk Mohammad Razi Sitam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad Dato Ruslan Abdul Ghani, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu Dato Haidar Khan Asghar Khan, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Nur Alina Abdullah dan Presiden Special Olympics Malaysia Bong Koi Sin. -EDISI UKAS