Sarawak Unggul Acara Bocce, Rangkul Emas Sukan Olimpik Khas Kebangsaan 2026
BINTULU: Kontinjen tuan rumah, Sarawak, terus menyerlah dalam acara bocce apabila berjaya meraih dua pingat emas menerusi kategori beregu lelaki pada temasya Special Olympics Malaysia 6th National Games Sarawak 2026 yang berlangsung di Stadium Muhibbah Bintulu pada Ahad.
Bagi kategori Beregu Lelaki Kumpulan 2, gandingan Ethan Teo Zu Cheng dan Mohamad Lylia Danial Abdullah dari pasukan Sarawak ‘A’ muncul juara selepas mempamerkan aksi konsisten dan cemerlang sepanjang pertandingan.
Sementara satu lagi emas diraih menerusi Beregu Lelaki Kumpulan 3 apabila pasangan Mohamad Adam Ashraff Abdullah dan Frederick Tay Li Xian dari pasukan Sarawak ‘B’ berjaya mengungguli saingan dengan prestasi meyakinkan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam hadir menyempurnakan majlis penyampaian pingat kepada para pemenang, sekali gus menzahirkan sokongan padu kerajaan negeri terhadap pembangunan atlet berkeperluan khas.
Beliau turut menyertai perlawanan persahabatan bocce bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad, yang menyaksikan kedua-duanya bergandingan dengan atlet Special Olympics dari Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dalam suasana penuh semangat kesukanan dan inklusiviti.
Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat atlet, malah memperkukuh nilai perpaduan, keyakinan diri serta keterangkuman sosial dalam kalangan komuniti, sejajar aspirasi Sarawak untuk membina masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera.-EDISI UKAS